Pages

Thursday, March 31, 2011

"Sabar Itu Cantik"

Selalu kita dengar ayat ini,

"Assobru Minal Iman" Sabar itu separuh daripada iman.

"Innallah ha ma'assobirin" Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.Jelasnya Allah sangat suka mendampingi orang-orang yang sabar.

Sebenarnya sabar kita berada pada kedudukan yang mana??

adakah pada keadaan ini," Sabar aku ada tahapnya.."

Pernah saya dengar seorang penceramah terkenal berkata,orang yg mengungkapkan "sabar aku ada tahapnya" sebenarnya adalah orang yang tidak sabar.

atau kita masih lagi menilai dari sudut mana cantik dan indahnya sabar..

Tertarik saya berkongsi makna disebalik indahnya sabar seusai membaca coretan tentang ini.

Syahdu bunyinya kan,Sabar itu Indah dan Sabar itu Cantik,


Sukar untuk saya gambarkan adakah saya mampu menjadi seorang yang sangat sabar dan tabah saat ujian getir menghimpit diri saya.Bolehkah saya menjadi sesabar insan-insan yang selalu diuji dengan pelbagai ujian yang bertimpa-timpa.

Bukan saya katakan saya tidak pernah diuji,saya juga insan biasa yang sangat jauh dari sifat maksum,sering diduga dan diuji dengan pelbagai cara..Mungkin kita diuji dengan perkara yang sama tapi cara penyelesaian yang berbeza.

Ujian yang paling saya takuti ialah kehilangan orang tersayang dalam hidup.Sebagai seorang muslim saya percaya mati itu pasti,telah ditetapkan, DIA tidak akan lambatkan atau cepatkan walau seminit pun.Semuanya telah ditentukan.Namun sebagai manusia yang punya sangat banyak kelemahan diri ini,kehilangan orang yang kita sayang sering menyebabkan kita hilang punca dan mudah merasa kecewa,seolah-olah hidup sudah tidak bermakna lagi.Sebab itulah penelitian nilai sabar seharusnya dalam lingkup yang lebih holistik,dan sesungguhnya sangat benarlah perihal "Sabar itu separuh daripada iman",jika tidak punya sabar manusia boleh bertindak diluar batas rasionaliti seorang insan.

Bila sabar mendampingi, kita akan mudah merasa tenang dan pasrah.Hidup terpimpin,jiwa terbimbing, kedamaian dan ketenangan datang seiring.

Sungguh sabar itu cantik..! melalui sabar secara tidak langsung akan menemukan penilaian kendiri siapa diri kita untuk mempersoalkan mengapa aku diuji,kita hanya hamba Allah yang memang layak diuji lagi diduga.Sekaligus kita mula merasakan kerdilnya diri..

Memetik kata-kata ini " Sesungguhnya tidak beriman seseorang itu selagi tidak diuji",maknanya kekebalan iman dan kekuatan pasakkan iman seseorang akan dinilai melalui bagaimana bentuk dan cara dia melalui ujian yang dihadirkan untuknya.

Adakah dia sabar,redha dan bangkit berusaha untuk mengubah keadaan itu.

Sifat sabar sebenarnya bukan menyebabkan kita tewas dan kalah,sabar pada pandangan rohani adalah kemenangan kita melenyapkan bisikan dan godaan syaitan yang sering mahu menundukkan dan memesongkan manusia daripada akur dan percaya pada takdir.

Sebahagian penjustifikasian indahnya sabar telah penulis temui,namun penulis masih lagi meneliti dan mencari bagaimana cara mahu memiliki "nilai secantik sabar"...Wallahua'alam..

Tuesday, March 29, 2011

Mr. Bubble yang Setia..

"Kakak,belikan saya encik buih itu"

"Ok,my darling.."


Monday, March 28, 2011

Mengubah kebiasaan...

Di pagi yang hening,
Bila ada yang datang bertanya...

Dia : Tulip, saya nk tanya awak ni..

Me : Ya kak,nak tanya apa??

Dia : Mana yang lebih afdhal,baca doa sambil brdiri atau duduk??

Me : Yang pernah saya baca dan ustaz saya ajar dulu sebaiknya duduk dan dalam keadaan kita merendahkan diri.Dalam keadaan itu akan lebih menzahirkan rasa kehambaan dan kerendahan hati seorang manusia.

Dia : Itula yang akak tahu dan sebenarnya yang selalu kita duk suruh murid buat sekarang ni seolah-olah meniru agama lain..Hurmm rasa macam kurang selesa ja kan..

Me : Saya perasan kak benda tu, tapi suara kita rasanya tidaklah sebesar mana nak mengubah kebiasaan yang menjadi adat dan budaya tipikal murid-murid ni semasa berdoa sejak zaman berzaman.Atau mungkin juga peraturan membaca doa sambil berdiri yang telah ditetapkan ini lebih memberi fokus dan konsentrasi pada murid-murid.

Dia : Itulah kan..barulah akak rasa jelas sikit.hmm ok,terima kasih Tulip atas penerangan..

Me : Sama-sama kak.




So,what should i do??

Sebenarnya mengubah kebiasaan lebih sukar daripada mencipta kebiasaan...

May Allah Bless Them..

Assalamualaikum..WBT..

Awal kalam pembuka bicara
Selamat Pengantin Baru pembuka tirai
Tahun 2011
kepada 3 pasangan ini..

Didoakan,

Semoga Kalian semua mendapat kerahmatan dan
kasih sayang Allah hingga akhir hayat,
Dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah sebagai
saham keberuntungan diakhirat kelak,
diharapkan juga semoga dipermudahkan segala kerja baik
dan diterima segala amalan.


Anak kawan abah, Halir Khusairy dan pasangan.

Sepupu abah, Alamin dan Ismail.

My Cousin,Anis Husna dan Mohd Nashrul..

Moga berbahagia hingga akhir hayat...

Saturday, March 26, 2011

Tanggungjawab

Assalamualaikum...

Teruja sangat mahu berkongsi tentang tanggungjawab.Saya pasti setiap dari kita tentu mempunyai azam dan harapan untuk menjadi hamba Allah,anak dan pekerja yang bertanggungjawab.

Selain daripada bertanggungjawab sudah tentu kita juga mahu jadi orang yang baik malah disenangi oleh semua.Sesungguhnya saya sangat suka dan amat menyenangi impian sedemikian.

Saya selalu mahu jadi seorang yang bertanggungjawab dan amanah saat saya diberi tugas.Mahu menyenangkan hati semua orang disekeliling saya.

Namun, pada suatu ketika saya memikirkan kenapa saya begitu acuh tak acuh dengan tugas baru ini??

Hakikat yang sangat jelas saya tidak kisah untuk diberi tugas belakang tabir yang perlu bersengkang mata membuat minit mesyuarat, namun apa yang menjadi kekangan saya ialah saya akan menjadi seorang hamba Allah yang sangat formal ketika mesyuarat dijalankan.Menadah telinga dan taat setia menghayun pena untuk menulis...Ohh!! saya sudah tidak boleh berkhayal semasa meeting dan juga menutup terus ruang sembang saya dengan kawan sebelah kiri dan kanan saya...semestinya saya perlu alert and take note apa sahaja yang keluar dari mulut GB,GPK HEM,GPK akademik,GPK Koko dan siapa sahaja yang melontarkan pandangan.

Secretary...oh secretary..!

Setelah lima hari saya belum lagi menyudahkan minit mesyuarat untuk dibentangkan pada mesyuarat yang akan datang,gara-gara saya kompius dengan apa yang saya catat...huhuhu..Saya sangat tidak suka akan situasi ini..! (tu laa sapa suruh x dgr betul2..).

Nak kata tak sempat and tak da masa nak siapkan , buat N3 blog ada masa pulak..

Oh,Tuhan saya sangat tidak sabar nak selesaikan tanggungjawab ini..

Friday, March 25, 2011

Rindu yang tak tertanggung...

Assalamualaikum WBT...

Jarang saya menulis tentang dia,padahal hakikatnya saya sangat rindukan dia sebagai peneman hidup saya dikala suka dan senang.Saya sangat rindukan celoteh dan senda guraunya yang sering saya tonton setiap kali saya bersamanya.

Sebolehnya saya tidak mahu berpisah dengannya dan tidak mahu mensia-siakan cuti saya tanpa melihat gelagat ,telatah dan aksi2 comel beliau dihadapan mata saya.

Kadang2 saya perasan,my abah ralit memandang saya yang tidak akan melepaskan walau sedikit pandangan saya daripada melihat apa sahaja yang my mia harleena buat.Mungkin abah pun berkata2 "Tulusnya hati seorang kakak" (huhh perasanla tulip ni..)

Saya tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini.Melihat dia makan,tidur,menonton tv dan bermain.Sungguh saya gembira dan sangat menyukai perasaan ini.

Masih saya ingat akan satu phrase yang membuatkan saya terkejut.Pada waktu petang,biasanya saya akan melipat kain di atas sofa sambil "dibantu" oleh my mia..namun tengah ralit melipat kain tiba-tiba my mia terkejut dengan bunyi tawa riang di sebelah rumah kami,lalu dia bangun dan mengintai disebalik grill rumah kami.Kelihatannya beberapa orang kanak-kanak dalam lingkungan 7 dan 8 tahun sedang leka bermain.Saya pasti ini bisa mengundang rasa ingin keluar dalam diri my mia.Lantas kedengaranlah ayat ini,"Kakak,adik nak bbaik (tatabahasa melayu standard ~ berbaik)." oh,pandai sungguh kamu menyusun kata-kata ya.Apa yang dia maksudkan ialah nak berkawan atau join sama bermain dan saya sangat mengerti itu adalah permintaannya agar saya membuka pintu sekaligus sebagai keizinan rasmi untuk dia keluar bermain bersama.

Kadang-kadang yang selalu saya ingat,

Dia turut "membantu" saya ketika menjemur kain dan membasmi kuman didapur basah kami sehingga saya tidak tergamak untuk memberitahunya bahawa saya tidak perlukan bantuannya.

Melihat dia begitu beria-ia membantu,membuatkan saya rasa serba salah untuk menolak bantuan tulusnya.

Saya akui dialah pembantu saya yang paling baik,bila minta diambil bakul kat ruang tamu sampai sudah kita tunggu.Bila keluar kat living room rupanya kawan tu tengah khusyuk menonton nonochan.Oh sungguh saya bertambah sayang padanya..!

Kelihatannya saya sungguh obsesi pada pemilik nama Nur Damya Harleena ini.

Hari ini ketika saya berkesempatan mahu menelefon dan mendengar bebelannya,saya tidak berupaya berbuat demikian kerana my mobile tertinggal di rumah.

Rindu yang tak tertanggung ni harus segera dileraikan kerana saya hanya mahu mendengar bibir mungil itu menutur perkataan keramat ini sahaja.

KAKAK..

Sungguh kerap,dalam intonasi yang sederhana dan cukup jelas.

Hati mana yang tak berbunga riang,jiwa mana yang tak dilanda gelora.Saya cukup bahagia melalui saat indah itu.

Kakak nak susu...

Kakak nak ikut..

Kakakkkkkkkkkkkkkkkkk...

Semuanya kakak...

Nur Damyaa Harleena Semoga kamu menjadi anak solehah, penyejuk mata yang akan membahagiakan mak dan abah dunia akhirat.

Nilai Nyawa PemberianNya..

Assalamualaikum WBT...

Saya tidak tahu bagaimana harus saya mulakan,namun saya rasa dikalangan anda sudah sedia mengetahui dan menonton video tindakan berani seorang remaja perempuan yang bertindak nekad untuk membunuh diri di KB Mall,Kota Bharu semalam.

Mengikut apa yang saya baca punca dan faktor remaja berkenaan bertindak sedemikian adalah berpunca daripada masalah cinta dan keluarga.Wallahua'lam hanya dia dan Allah sahaja yang mengetahui.

Saya minta maaf ya..! saya tak berminat langsung nak share video dalam durasi 3 minit itu dalam ruang ini.

Namun Alhamdulillah,saya sangat2 bersyukur dengan tindakan pantas pihak bomba yang meletakkan tilam dibawah bangunan sekaligus menyelamatkan remaja itu tadi.

Sesungguhnya saya rasa amat malu kerana kejadian itu berlaku di negeri kelahiran saya! Benar2 segan saat teman2 sekerja sibuk berbicara tentang ini ketika waktu rehat di kantin tadi,rasa macam tak tahu nak letak muka kat mana.

Ketika berkesempatan menonton adengan menyayat hati ini sekali lagi pada tengahari tadi,saya tidak tahu mengapa cepat benar saya merasa sebak,air mata memang tidak dapat di bendung lagi.Saya pun seakan kurang mengerti mengapa keadaan sebegini yang harus saya depani.

Mungkin alasan ini yang merestui rembesan air mata saya tadi.

1) Subhanallah...malunya mak ayah dia,tergamak mahu "menidakkan" kewujudan dia di alam ini.

2) Besar sangatkah masalah yang dialami?? Sehingga tiada langsung jalan penyelesaian.Setiap penyakit ada ubatnya,setiap kekusutan ada cara untuk merungkainya.Cubalah berfikir dalam batas rasionaliti seorang manusia yang punya akal fikiran.

3) Tindakan sengaja membunuh diri boleh membawa kepada terkeluarnya iman,ini yang benar2 kita takut.Seseorang yang sengaja mahu mencabut nyawanya sendiri akan terjerumus kepada murtad.Seriauu...kenapa perlu ditolak nikmat nyawa yang diberikan Allah.Banyak sangatkah amalan sehingga sanggup mempercepatkan tarikh kematian diri.

Dari satu sudut anda mungkin menganggap saya seorang yang agak sinikal.

Mengertilah,dengan kejadian ini membuatkan saya lebih banyak berfikir.Sering saya ingatkan pada "insan" yang datang mengadu kepada saya tentang masalah yang dialami,bahawa "Allah tidak akan jadikan sesuatu itu sia-sia,beruntunglah bagi mereka yang suka berfikir" dan saya juga begitu senang untuk berkongsi skrip cerita indonesia ini " Allah tidak pernah tidur..!!".

Baik buruk perkara yang mendatangi kita,yang dialami oleh orang sekeliling kita sebenarnya adalah "teguran" dan peringatan pada kita agar tidak terus leka.Barangkali "peringatan itu" dihadirkan sebagai tanda ingatan kepada sekelian makhluk di alam ini agar menghargai setiap hembusan nafas dan keupayaan untuk terus hidup yang Allah berikan.

Saya kurang mengerti,tetapi saya sering saja mahu berfikir dari sudut itu.Pada nilaian anda apa pula???

4) Mungkin soalan saya ini agak bisa membawa anda kepada ekspresi atau pelahiran maksud yang mahu sangat saya sampaikan.Barangkali juga konsolnya agak pelik sedikit.Tidak mengapalah,tapi saya mahu juga melontarkan soalan ini sebagai peringatan untuk diri saya dan insyaAllah untuk anda juga..

Setelah anda terpijak seekor semut dan semut itu mati, (mungkin kita x perasan kot.!) mampukah kita menghidupkan semula semut itu tadi???

Demikianlah juga bila seseorang yang kita sayang pergi,berupayakah kita memberi nyawa kita dan berkongsi bernafas untuk terus hidup bersama selama-lamanya??

Ini mungkin agak kritikal sedikit,sering saya titipkan untuk anak didik saya.Kalau nak minta panjang umur,murah rezeki dan jadi orang pandai mintak dengan siapa?? dengan jiran sebelah ke,dengan mak ke dengan cikgu awak???

Hahhh sudah pastinya dengan Allah..!!

Dialah berkuasa keatas seluruh alam ini,semuanya dibawah bidang kuasanya.Mengadulah,mintalah dan merayulah pada dia.Dulu,saya sering dengar hidup ini suatu percaturan,sebenarnya hidup ini suatu perjuangan.Untuk berjuang kita harus bekalkan senjata,tenaga dan doa dan jangan tunduk dengan bisikan Syaitan.

Duhai remaja,kembalilah ke pangkal jalan.Usah terus hanyut dengan sandiwara dunia.Jangan sekali2 noktahkan perjalanan hidupmu dengan tanganmu sendiri kelak nanti kamu akan tergolong dalam golongan yang tersangat rugi.

Semoga peristiwa ini menjadi pengajaran untuk kita semua.

~Penulis...~

Wednesday, March 23, 2011

Elak cerita peribadi..

Assalamualaikum WBT...

Seringkali saya teringat akan prinsip seorang blogger ini. Mengenali beliau melalui ruangan gadjet yang pernah saya baca dalam sebuah akhbar kompak cukup membuatkan saya terpegun.

Saya sangat bersetuju dengan prinsip yang dipegangnya.Melalui hidup sebagai seorang blogger yang sangat aktif menulis beliau seboleh2nya tidak mahu menceritakan kisah peribadinya dalam blog.Beliau berusaha untuk elak daripada mendedahkannya.

Sebenarnya itulah juga prinsip hidup saya,tapi saya merasakan prinsip itu sedikit sebanyak telah tergadai dek kerana keasyikan saya menulis.Kata blogger ni,beliau akan draf dulu apa sahaja perkara yang hendak dijadikan N3,Ohh! saya rasa saya tidak punya ruang dan masa untuk draf,baca dan edit semula apa yang mahu disampaikan.Semua yang saya tulis adalah ikhlas dari lubuk hati saya.

Pada hemat saya lah kan,cerita peribadi terbahagi kepada dua iaitu peribadi dan terlampau peribadi.

Cerita Peribadi

Eh,macam karangan STPM pulak.Ok takpa lah saya nak cerita ni peribadi adalah sebahagian rutin dalam perjalanan hidup kita yang melatari disebalik jalan cerita dalam subjek yang ingin disampaikan.Contohnya jika saya nak sampaikan cerita mengenai kuasa sentuhan,sedikit sebanyak saya harus mengaitkan apa yang terjadi dalam hidup saya.Semuanya merangkumi apa yang saya lewati.

Demikianlah juga mengenai nilai kasih sayang dan pengorbanan malah berbagai2 N3 lagi yang saya tulis,sebahagiannya adalah pelengkap hidup saya yang diterjemahkan di ruang ini.

Sekian banyak contoh,saya terpaksa juga mengenengahkan pahit manis yang saya lalui.Tiada lain yang saya harapkan semoga kalian merestui niat murni saya ini,walau sedikit sebanyak timbul juga keralatan di sanubari ini namun untuk bertindak sebagai da'ie atau mursyid (penyampai) semuanya harus disampaikan dengan telus dan tulus .Harapan semoga kalian jadikannya teladan dan yang buruknya sebagai sempadan.

Pakar motivasi terbaik saya Dr. HM Tuah Iskandar juga seringkali menyelitkan sedikit diari hidupnya untuk dijadikan contoh agar para audiens lebih mudah meletakkan diri audiens pada keadaan itu.

Demikianlah juga dengan Profesor Dr Muhaya,sebahagian nasihat,kata-kata keramat dan kejadian teladan yang sering saya ingat adalah banyak berkaitan dengan kehidupan peribadinya sebagai seorang pengamal perubatan islam moden yang sering berdepan dengan karenah staf dan pesakit yang bermacam-macam.

Padahal seboleh mungkin saya mahu mengelak drpd menceritakan rutin hidup saya dalam blog ini,namun saya memikirkan " jika kebaikan lebih besar dari keburukan lebih baik kamu memilih kebaikan",jika cerita saya tidak melalaikan kalian dan insyaAllah jauh daripada unsur2 menyakitkan hati,tiada salahnya kan??.Konklusinya,sebahagian harus dijelmakan disini,bukan berniat mendabik dada dan menunjuk-nunjuk.Saya manusia biasa yang punya cacat celanya,awal2 lagi dah tulis "maaf dipinta diakhir bicara".

Terlampau peribadi

Merujuk kepada terlampau peribadi,sebenarnya apa yang dipaparkan disini sebenarnya baru 20% sahaja.Banyak lagi cerita peribadi,yang saya rasakan pada pandangan orang lain bukanlah peribadi sangat.Saya wanita timur,saya juga wanita pantai timur.Kami diajar untuk lebih bertata susila dalam berbicara.Saya tidak kata saya punya tatasusila yang hundred persen bagus dalam berbicara.Namun azimat ibunda itu InsyaAllah akan terus saya pegang sampai akhir hayat.

Bercerita tentang hati dan perasaan,sebenarnya jika diberi berlembar-lembar kertas pun belum cukup untuk menulis ceritera tentang hati.Banyak lagi cerita yang bersifat kerahsiaan perlu dijaga dan disimpan sekemas-kemasnya.Dan diruangan ini pun tiada siapa yang akan menyekat dan menghalang saya daripada berbuat demikian,namun saya punya maruah dan harga diri.Apa yang saya dapat jika saya tegar berbuat demikian.Kepuasan??? bukan itu caranya.Publisiti?? saya bukannya public figure.

Itulah yang saya kira perkara yang tersangat peribadi yang akan disimpan kemas.Selalu saya ingat kata-kata ini,kita bercerita pada manusia memang dalam keadaan itu kita akan merasa tenang, namun saya rasa ketenangan sebenar akan kita kecapi jika kita "mengadu" kepada DIA,Sesungguhnya dengan izin DIA lah jua ketenangan itu akan kita kecapi.

Dalam keasyikan ini,saya mahu panjatkan syukur pada yang maha Esa,kerna seizinNya ketenangan yang sedikit itu sering saya perolehi dengan mim nun waw lam ya sin..!!

Monday, March 21, 2011

"Betul ke,abang sayang??"

Assalamualaikum WBT...

Rasa agak ralat melalui hidup seharian tanpa meninggalkan sebarang jejak pada blog picisan ini,malah rasa amat tak best jika saya tidak mampu menterjemah sekelumit rasa pada ruang kesayangan saya ini.

Okla sedikit perkongsian,sebab dah terlampau terjebak dengan dunia blogging ni.Jadi nak tak nak saya harus jugak melalui hidup normal sebagai seorang yang suka menggunakan kuasa minda seterusnya menggunakan tenaga jemari untuk mengetuk-ngetuk papan kekunci seterusnya menzahirkan segala punca kuasa yang duk berlegar-legar selama ini.

Oppss! sangat lupa ,tajuk N3 diatas gimiks sahaja,nanti hampa baca sampai habis baru tauu.Saja,nak tengok rating dia naik sebanyak mana..ala ala wartawan hiburan gitu.Selalu bikin gempakss..

Saya pernah baca blog member saya,N3 dia hari tu bertajuk "Aku kahwin hujung tahun ni",pengunjung yang link ke blog dia hari tu meningkat berganda2..Padahal itu hanya spekulasi dan konspirasi yg dibuat2.hahaha..ini yang dinamakan strategi.Hehehe..*krenat betul.! ~Rujuk makna dibawah..

Ok,sekarang kita kembali kepada apa yang nak sangat saya kupas pada hari ini.Bukan kupas bawang dehh.Nak jelaskan mengenai kuasa sentuhan.

Kuasa Sentuhan

Merujuk kepada sentuhan kasih sayang antara yang halal lagi dihalalkan.Saya nak highlightkan mengenai kuasa sentuhan antara ayah/mak dengan anak,kakak/abang dengan adik2 dan sentuhan yang halal yang jauh menyimpang daripada sentuhan yang terpesong dari syariat islam.

Benar apa yang pernah disuarakan oleh seorang penceramah,kuasa sentuhan sebenarnya sangat mampu untuk melembutkan hati yang keras malah mampu untuk menundukkan keangkuhan seorang insan dan secara tidak langsung boleh menyejukkan orang yang dalam kemarahan.

Cuba anda bayangkan dalam keadaan seseorang yang berada dalam pengaruh iblis,sebenarnya marah2 ni sebahagian daripada bisikan iblis.Bercakap merapu entah apa-apa,tiba-tiba akan bersikap slow down dan tunduk patuh saat berlakunya sentuhan.

Sentuhan sebenarnya mampu menzahirkan aura kasih,keramatnya kuasa sentuhan.Dalam psikologi sendiri pun ada elemen sentuhan dalam memujuk dan mendamaikan hati yang sedang resah.

Saya cukup tertarik untuk share. My bro kuasa 4 ni memang dia agak manja sikit,cakap pun lembut ja.Tapi bila dah nama manusia ni kan kadang-kadang ada buat silap jugak.Masa tu jugak kita nak marah kan.So,bila nak marah dia menjawab.Bila dia banyak menjawab saya cepat2 pergi dekat dia,saya usap kepala dia (spatutnya harus sambil berdoa,tp jarang buat).

Nak bagi dia cair saya gunakan psikologi dengan berlembut.

Saya tanya :"abang sayang kakak tak??"

saya menambah lagi,

"betul ke abang sayang??"..

"Kalau betul abang sayang kakak,abang dengarla apa yang kak cakap.Kak tegur dan nasihat abang sebab nak suruh abang jadi orang yang berjaya dunia akhirat"

Sebenarnya kan phrase "berjaya dunia akhirat" makna dia agak tersirat dan dari sudut pemahaman ianya berada pada aras atau level yang tinggi.Untuk budak yang umur belasan tahun macam ni kita harus spesifik dan skip apa matlamat yang harus dia capai untuk rancangan jangka masa panjang dan jangka masa pendek.Seterusnya barulah merangkumi hasil dan saham yang akan dituai kelak tak kiralah sama ada pada kehidupan dunia atau pada kehidupan akhirat yang kekal abadi.

Berbalik kpd ceritera tadi..

Tahu tak,dan dan tu dia boleh tunduk lesu becakap lemah lembut dengan kakak kesayangannya ini..hehe magik betul kuasa sentuhan ni,tak perlu nak *lorat gaduh guna kuasa lain,guna kuasa sentuhan dulu.nanti anda akan rasai nikmatnya berdepan dengan orang mendengar cakap kita..ala ala kuasa veto gitu.

Krenat-Mengusik
Lorat gaduh - Tergesa-gesa

~Lamo kelik kapong kan,jadi tok sir tinggal lahjah(loghat) kesayangan.

Sunday, March 20, 2011

Kembali bersiaran

Assalamualaikum WBT dan selamat pagi..

Hari ni kita bersiaran semula setelah seminggu merehatkan diri.Oh sungguh indah melalui hidup di kampung halaman.Walau penat dengan pelbagai aktiviti, tapi sangat best..!

Kenduri

Kenduri + Bercanda di tepian Pantai Irama,Bachok.

Kenduri + Kolam Air Panas,Machang.

Kenduri

Shopping Moping Rantau Panjang

'Mood Sedih'~ tak dapat hadir majlis pertunangan my bestfren ~apa2 pun tahniah,kenduri nanti sy akan hadir..

`Kembali semula ke Hutan Batu`~ Harus "mencipta" gembira,tenang,berlapang dada dan redha..inilah tempat saya mencari rezeki..okess,saya tengah gembira ni..

Thursday, March 10, 2011

Permisi dulu...

Assalamualaikum WBT,

Saya sebenarnya sangat tidak tahu nak tulis apa,tapi nak menulis jugakk.Macam mana ni..Pikir punya pikir,idea masih kontang bak kemarau panjang.

Ummm..

Hahh,saya nak meluahkan kekesalan saya atas sikap saya sendiri.Saya perasan kan kekeringan idea saya adalah berpunca dari sikap saya yang sangat kurang membaca bahan-bahan ilmiah semenjak 2 3 menjak kebelakangan ini.

Sudah lama saya tidak 'bermesra' dengan tulisan penulis dan motivator terbaik saya ini.Suraya Ghazali (Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie),Dr.Rushmini Maris Ismail,Dr.HM Tuah Iskandar dan Dr.Haji Juanda Haji Jaya.

Semestinya tidak akan saya lupakan penyumbang halwa telinga terbaik Profesor Dr. Muhaya Muhammad,Pakar mata dan merupakan daie dan mursyid terbaik saya.Corak penyampaian ilmu yang sangat lembut,bernas dan berhikmah.Cuba kalian semua dengar dalam ikim.fm dalam slot "islam itu indah" setiap rabu pukul 10 pagi.Saya menyanjungi beliau dan sangat terpesona dengan ilmu dan kerendahan hati yang beliau miliki.

Pemandangan dari sebuah masjid di Pasir Mas

Tahukah anda,saya sebenarnya telah tersasar tajuk.Lantas saya perlu berlari2 anak kembali semula kepada tajuk kita tadi..hehehe..

Permisi dulu ya.Seminggu ja,saya mahu pulang ke kampung halaman saya nun jauh di Tanah Merah.Mahu bertemu sama orang2 tersayang yang merupakan penyokong kuat saya disaat saya susah dan senang..

Okla,doakan yang terbaik untuk saya ya..Saya sayang kamu semua "kasih sesama makhluk".

Tuesday, March 08, 2011

Aduhai Adikku Sayang..



Announcement..!!!

Pemberitahuan...

Terlebih dahulu saya mahu menyusun sepuluh jari memohon maaf kepada semua anak didik saya kerana sehingga ke saat ini saya tidak akan approve (mengesahkan) atau confirmed anda sebagai friendlist saya dalam Laman Sosial.Percayalah saya menyayangi anda seikhlas adanya setulus kasihnya,namun saya punya beberapa alasan untuk tidak mengizinkan anda untuk tersenarai dalam barisan sahabat Laman Maya saya...Semoga kalian menilai baik buruk my reason ni..

1) Saya rasa sesetengah bahasa dan intonasi ayat yang saya gunakan untuk sahabat-sahabat saya sangat tidak sesuai untuk tatapan anda anak2.

2) Saya tidak mahu sebahagian kenangan silam hidup saya bersama kawan2 saya menjadi bahan bacaan kalian dan akhirnya menjadi hujjah perbualan kalian di sekolah.

3) Saya ada belajar mengenai psikologi mengenai bahasa dalam perbualan hatta apa yang ditaip seseorang,disebabkan itu saya tidak mahu anda semua tegar menterjemah dan menilai diri seorang saya dalam sisi selain daripada seorang pendidik anda.Kerna saya mahukan nilai taat dan hormat anda pada saya melebihi segalanya.Hipokrit bunyinya kan??.Namun percayalah untuk lebih berbisa dan dianggap seorang berkaliber sebahagian keaiban harus disembunyikan dengan penuh berhikmah.Seboleh mungkin saya mahu menutup kelemahan diri dan kadangkala ketelanjuran saya saat saya begitu seronok dalam ruang comment dengan myfriends.

4) Yang ni sangat kuat alasannya,kerana saya sangat tidak setuju dengan keterlibatan anda dalam laman sosial Facebook ini.Jadi untuk menjadi pejuang yang menghalang murid2 sekolah aktif berfacebook,jadi saya tidak akan membuka jalan kearah itu..Sebab saya melihat banyak buruk daripada baiknya,banyak masa terbuang,sedangkan banyak lagi kenikmatan hidup lain yang belum anda kecapi..Percayalah..!

5) Kita punya ruang yang lebih luas untuk laman sosial yang lebih natural dan segar penuh dengan nilai mesra dan kasih sayang seorang pendidik dengan anak didiknya.Tanyalah saya apa sahaja saat kita bersua muka,tidak perlu pada ruang privasi itu ya anak..!

Semoga anda semua mengerti, kasih sayang saya pada anda tidak berbelah bagi dan tidak ternilai.Sungguh..! saya tidak sanggup mengheret anda pada kelalaian dan keasyikan dunia cyber ini sehingga akhirnya akan merugikan masa2 emas anda.

TenQ pada sahabat yang memberi kerjasama untuk tidak menghebahkan siapa diri saya dalam ruang maya itu,jasa dan pengorbanan anda saya dahului dengan ucapan Terima Kasih.

Selamat Hari Wanita Sedunia...

Assalamualaikum WBT dan Selamat Petang.

Tepat jam 7.02 pagi tadi kecoh kat radio tentang hari wanita,2 3 kali kak engku duk sebut tentang Hari Wanita.Masa tu barulah saya perasan bahawa hari ini ialah hari istimewa untuk insan yang menghayun buaian itu.

Kenapa sangat lupa ya?? Padahal saya selalu alert tentang tarikh2 keramat ni terutamanya tarikh hari lahir.Mungkin kerana kesibukan tugas membuatkan saya sangat tidak punya masa untuk memikirkan benda2 remeh macam tu.

Namun tak mengapa saya masih ingat.i am innocent okay..!

Selamat hari wanita ditujukan khas untuk insan terpenting dalam hidup saya,Puan Noreha Awang.Tanpa dia siapalah saya.Saya menyanjungi beliau kerana pengorbanan dan kasih sayang yang tak berbelah bahagi yang beliau berikan pada saya.Saya mengasihi dia kerana agungnya kasihnya pada kami.Saya merindui beliau kerana saya adalah sebahagian drpd beliau.Saya kangan air tangan beliau kerna ada renjisan keramat kasih sayang dalam ramuannya.Saya hanya mahukan yang terbaik untuk beliau untuk kehidupan dunia dan akhirat beliau.Saya Sayang MyBundaa...

Seterusnya selamat hari wanita untuk semua ibu angkat saya di seluruh Malaysia.Terima Kasih diatas jasa dan pengorbanan kalian pada saya.

Kepada semua teman wanita saya (bunyi macam pelik jerkkk).Pembetulan, kepada semua sahabat2 saya yang bergelar wanita Selamat Hari Wanita,hargailah anugerah yang Allah kurniakan buat kita dengan jalan yang diredhaiNya.

Maruah anda terletak pada kehormatan anda,jika anda pandai memeliharanya nescaya rahmat Allah melimpah ruah.Sehingga ada diriwayatkan "Masukilah mana2 pintu syurga bagi wanita yang beramal soleh ,mentaati suaminya dan menjaga kehormatannya".


Rupanya insan yang menghayun buaian ini sebenarnya mampu menggegar dunia,cuba fikir dalam batas rasionaliti seorang insan,betapa pentingnya wanita dalam hidup kita.Antara kesinambungan sebuah kelahiran ummat manusia bermulanya dari seorang wanita.

Dalam segenap sudut wanitalah pendorong dan pencetus semangat terbaik.Lembut, penuh istiqomah dan sangat utuh dengan kasih sayang,keramatnya kasih sayang yang dimiliki oleh seorang wanita sehingga syurga terletak dibawah tapak kaki ibu,bukan dibawah tapak kaki ayah.!

Saya berbicara begini bukan kerna saya seorang wanita,nanti tiba Hari Lelaki sedunia nanti saya titipkan kata2 terindah untuk golongan ini pula.

Saya sering mahu berjuang untuk kaum saya,sebab saya rasa pengorbanan seorang wanita sangat besar,semuanya dek kerana kasih sayang.

Kasih sayang boleh menjadi pencetus segalanya,kadang2 membuatkan kita begitu dangkal dalam menilai antara nafsu dan cinta.Kadang-kadang ia kelihatan sangat terpesona antara nilai kasih dan pengorbanan.

Saya lebih suka mengupas tentang nilai kasih dan pengorbanan.Yang berharga itu nilai yang ada pada seni perkasihan.Jadi tidak hairanlah jika seorang wanita yang bergelar ibu sanggup berulang dari Putrajaya ke Rawang,bangun jam 4 pagi menyediakan makanan untuk suami dan anak2 tersayang dan pulang hanya menjelang 8 malam,dalam keadaan diri yang sangat letih dan tidak bermaya malah sanggup lagi menyelesaikan urusan rumahtangga sehingga selesai barulah kembali beradu.

Itu semua pengorbanan,sepatutnya bukan menjadi tanggungjawab seorang isteri untuk mencari nafkah,bersusah payah keluar gelap dan balik gelap.Namun,ini semua melibatkan pengorbanan,tanda kasih yang tak berbelah bagi untuk suami tercinta demi meringankan beban suami.Padahal letih dan penat Tuhan Maha Tahu..

Mungkin teman saya ini boleh memilih untuk tidak berkerja dan hanya menguruskan keluarga dirumah.Namun desakan hidup dan demi cinta menyebabkan dia memilih untuk berkorban.

Tapi,saya sendiri pun lebih suka berkerja sebenarnya agar hidup kita lebih bermatlamat dan berkembang maju.

Itulah sebahagian pengalaman yang boleh saya kongsikan.Sebenarnya banyak lagi,tapi cukuplah dulu setakat ini.Akhir sekali hargailah Wanita yang ada di sekeliling anda,tanpa mereka siapalah anda.Mereka insan yang lemah hargailah mereka dengan kasih sayang..

Saya sangat suka dengan kenalan saya ini,apabila kami mencuba resepi baru sama ada kek,triffle,coctail atau apa saja menu yang baru kami eksperimenkan,apabila beliau menyuapkan makanan tadi pada suapan pertama beliau, mesti kata2 ini akan keluar "Mesti anak-anak saya suka,nanti balik saya nak buatkan lah untuk dorang"

Sungguh,saya akui nilai kasihmu ibu.Dalam apa keadaan sekalipun anak diutamakan..!

Monday, March 07, 2011

Jika...

Kalau penghijrahan itu lebih baik
Saya harus memilih penghijrahan..!

Untuk menuju kearah yang lebih baik
Saya harus sedia berkorban

Berkorban jiwa dan raga
masa dan tenaga untuk semua ini

Moga tiada lagi dilema yang menyapa
Moga saya terus nekad dgn keputusan ini

Namun,saya hanya manusia biasa
Yang punya sangat banyak kekurangan
dan kelemahan yg membelenggu diri

Kadangkala keputusan menjadi rapuh
dek dorongan orang sekeliling

Adakalanya dihimpit dilema
Antara penting dan yang terpenting

Ada ketikanya,
terpaksa membuai rasa dan memujuk diri
agar tenang dan berlapang dada..

semoga inilah jalan yang diredhai
dan jalan yang penuh Rahmat..

Tapi..
Nasib baiklah saya punya DIA
dan DIA punya saya,

walau apa yang terjadi
saya mahu menyerahkan sepenuh kepasrahan
pada DIA...kerna aturanNya penuh berhikmah.!

Hanya PadaMu aku memohon
Ya Allah pimpinlah daku menuju jalanMu..

Saturday, March 05, 2011

Erti Rindu

Segugus Rindu..

Saya sering dibuai emosi rindu kepada teman-teman lama,tak kiralah sahabat yang paling baik atau kawan yang sekadar kenalan.Segugus rindu itu cuba saya leraikan dengan menelefon,adakalanya sms,chatting untuk bertanya khabar.Dalam kategori shbt perempuanlah..

Sepatutnya saya harus sedar,masa telah berubah.Sahabat2 sy sudah tidak punya masa untuk terus bersentimental mengingat dan mengulang semula nostalgia yang pernah kami kecapi bersama kerana mereka semua telah berkeluarga dan punya tanggungjawab yang lebih besar untuk diuruskan.

Mujurlah saya masih punya dua orang sahabat baik yang paling rapat dengan saya..Independent jugakk.. my rara and my zaza,tenQ Allah kerna antara kami dijadikan sahabat..

Dalam kotak ni,ada segugus rindu yang belum terlerai..

Apa yang dapat saya pelajarilah kan,Rindu tu seakan sama dengan Ikhlas.Abstrak,sukar dicapai dan dinilai dengan mata kasar.Kalau cantik penilaiannya agak subjektif.Lain pulak dengan rindu.

Rindu bukan benda maujud yang dapat dilihat dengan mata kasar,rindu adalah satu perasaan yang didorong oleh rasa sayang seseorang kepada seseorang.Zahirnya akan terlihat pada kemurungan wajah,berkecamuk dan klimaksnya ialah deraian air mata.Itu dah dikira tahap yang tak boleh nak tahanlah kan..

Manakala ikhlas pula ialah rasa keterikatan kita pada apa sahaja yang kita lakukan adalah semata2 kerana Allah tanpa mengharap apa2 balasan daripada makhluk.Ini hanyalah penjelasan secara umum.

Antara mekanisme terbaik dalam mencari penawar sekuntum rindu ialah dengan cepat2 men"trace" orang yang kita rindu walau dengan apa cara sekalipun.Percayalah jika dengan tiba2 anda mendahului leraian perasaan rindu anda hanya sekadar mesej "Salam",saya pasti orang yang anda jejaki tadi akan ditimpa perasaan yang sangat terharu dan sebak.Yalah..ingat juga kita kat dia..huhuhu..

Pernah dengar ungkapan "Rindu yang tak berbelah bagi", digambarkan seolah2 rindu tahap gaban atau rindu giler (sy nk marah sbnrnya kalau ada perkataan giler2 ni,tp xpelah kan contoh!).Seorang yang profesional sekalipun tidak mampu menguruskan kerja dengan baik akibat daripada desakan rindu.

Rindu ini sebenarnya satu fitrah.Sebagaimana fitrah kasih dan sayang.Jadi,tidak salah sebenarnya untuk terus merindu.Jangan cuba disangkal fitrah itu..!

Akhir sekali,saya sudah penat melerai rindu pada myblog.Cukuplah setakat ni dulu..."Kenang daku dalam doamu"~ ayat paling femes ms skulah menengah..cea..cea..

Friday, March 04, 2011

Abd Jalil Ali The Best..!

Salam petang jumaat,

Saat saya tertekan ingatan saya begitu cepat teringatkan mybunda nun jauh di Tanah Merah.

Sebab kami berkongsi minat yang sama jadi kami sangat serasi bersama..(anak pompuan ngan mak mestilah serasi..!)

Walaupun my bunda bukanlah seorang ibu yang berkerjaya,namun saya sangat respek akan pengetahuan dan maklumat yang beliau miliki.Rumah kami memang takkan lekang dengan bahan bacaan sama ada berat,ilmiah atau sekadar bacaan ringan Gila-gila,Ujang atau Apo!..(pernah dgr majalah Apo!? adik beradik ngan ujang jugakk..).Hasil tangan Damya Hanna,Aisya Sofea dan Anis Ayuni jugak tidak dilupakan,cuma sekarang je mak jarang membeli naskhah tersebut.

Yang paling menterujakan ialah tulisan Kolumnis terkenal ni,sapa lagi kalau bukan Abd Jalil Ali..Beliau memang the best writer in the world la..

Walaupun my bunda sekadar surirumahtangga sepenuh masa namun beliau mempunyai tekanan dan masalah tersendiri yang membelenggu akal dan fikiran, tak kiralah berkaitan bisnes abah,anak2 dan pelbagai rencam yang harus didepani.Yalah setiap dari kita tidak akan terlepas dari masalah.Yang takde masalah tu,masalah jugakk sebenarnya..

Jadi saya sangat arif akan teman setia mak dikala "kelat",beliau akan cepat2 menarik koleksi buku beliau.Hasil tulisan sapa lagi kalau bukan Abd Jalil Ali..

Kata My Bunda " Dia (Abd Jalil Ali) faham perasaan mak,faham perasaan wanita..macam tau2 jer dilema pahit manis dan duka nestapa yang membelenggu diri seorang wanita"

Memang betul saya akui kenyataan my bunda berdasarkan hasil tulisan beliau..

Corak penulisan yang bersahaja,ringan,adakalanya sinis...sangat sesuai menjadi peneman dikala duka dan lara..

Boleh tergelak sensorang dia baca buku tu..Sebab itulah "Asam,Garam,Gula dan Kopi","Teh Tarik Kurang Manis" dan naskhah terbaru "Kopi O Tanpa Gula" harus diperoleh dengan kadar segera tidak perlu bertangguh-tangguh lagi.

Sehingga sampai satu tahap kami anak beranak boleh berbicara tentang penulis ini sepanjang perjalanan ke Bandar Tanah Merah 20 minit lamanya.Betapa terkesannya aura penulis ini pada kami sekeluarga.Padahaii kami belum pernah bersua muka dengan penulis ini.



Kolum "Dari Menara KL" akan dibaca terlebih dahulu berbanding news lain dalam Sinar Harian..Hahh,betapa berkesannya hasil penulisan beliau sehingga kami begitu tidak sabar menanti hasil "tarian pena" beliau.

Itu belum dikira "Wanita dimata lelaki" dalam Majalah Seri Dewi dan Keluarga.Hahaha..bisa mengundang gelak besar,kadang-kadang terkena batang hidung sendiri.Memang boleh hilangkan stress..

Pastu kalau kalian perasanla kan..(saya baru perasan,sebab akhbar ni sangat susah nak dapat kat Sungai Buloh),dalam akhbar I Luv Islam dalam slot OPINI ada gak kolum tulisan penulis pujaan mak ni..

Sesiapa yang belum mengenali beliau (saya pun belum kenal sebenarnya..huhu),dapatkanlah segera hasil kerja tangan beliau kerana terdapat "penawar tekanan" dan terselit "paku buah keras" yang mengherdik kita dengan gaya yang penuh santai bersahaja.

Abd Jalil Ali memang The Best..!

Rasa nak nangis pun ada..

Ada dengar tak kat TV yang Menteri Pelajaran kita kata nak bagi insentif RM7500.00 pada Guru Besar Cemerlang?Jadi, para guru besar yang ditawarkan dengan tawaran itu akan dipantau oleh sebilangan nazir dari PPD yang berbeza.Dalam pemantauan tersebut mereka akan meneliti dan menyemak segala Fail di sekolah.

Bertitik tolak daripada itu,semua warga sekolah harus bertindak tangkas dan lebih agresif untuk mengupdate dan "menjenguk" semula fail yang telah lama terbiar usang..

Penceritaan pun bermula...

Setelah bertungkus lumus selama 7 hari berkerja minggu lepas.

Ditambah dengan minggu ni pulak,saya rasa betapa berharganya waktu senggang yang kita ada.Rasa begitu nikmatnya menikmati waktu rehat tanpa sebarang tekanan di tempat kerja.

Hari ni saya rasakan,masanya telah tiba.Countdown dari sebarang tekanan,hampir menyudahkan semua fail2 minit.Semuanya telah diupdate dan mengikut format yang ditetapkan.Bermula dari data tahun 2008,2009,2010 dan 2011 semuanya hampir selesai.Disebabkan tidak mahu hadir ke skul lagi pada hari weekend saya rela menyembah sujud Guru Penolong Kanan,bertanya apa lagi yang perlu dikemaskini.

Tak sabar nak menyudahkan semuanya,akhirnya tepat jam 12.04 Tengahari selesailah semua tugas yang membelenggu fikiran.Dah plan siap2 nak buat kerja lain plak.

Kakak kerani pun perasan kegembiraan yang terpancar diwajah saya..

"Aihhh farah,dah selesai kerja kau?? nampak tersengih jer"

Me: "Alhamdulillah dah,Tuhan maha tau betapa gumbiranya rasa.."


Saya pun dengan girangnya mengangkut 10 fail itu ke bilik Puan GPK.

Puan GPK : "Dah siap semua fail Cik Farah?"

Me : " Dah Puan,ni saya letakkan dekat rak ya Puan"

Puan GPK : " Nanti letakkan satu kotak lagi(bersamaan 10 fail jugak,salinan yg tadi) kat bilik Guru Besar ya Farah."

Me : "Errrrkk,Ok..Ok Puan"

Aduhh dan dan tu saya rasa nak nangis,sesungguhnya saya rasa sangat nak menangis sebab dua hari, sabtu ahad last weekend dah melalui hidup dgn fail, makan fail,tidur fail dan segalanya fail .

Ya Allah Ya Tuhanku pujuklah diriku supaya "bersabarlah duhai hati",banyak lagi cabaran yang akan ditempuhi.

Sabarlah..sabarlah...

Saya sedar semua ini berpunca dari kedangkalan diri saya kerana tidak membuat salinan untuk bilik GB.Untuk GPK dan untuk diri sendiri je ada..

Ya Tuhan,permudahkanlah urusanku.Tiada daya dan upaya melainkan dengan izinMu.Tuhan tabahkanlah hatiku...

~ Tak sabar nak balik kg nextweekend,saya perlukan ruang untuk berehat dan melupakan seketika kekalutan ini..~


Thursday, March 03, 2011

Nasihat..

Salam Subuh Yang Hening..

Mahu memetik kata2 seorang penceramah semalam.

Menasihati bukan maknanya kita ni bagus
Bukan juga kerana kita ni hebat
Juga bukan kerana kita ni perfect dalam semua perkara.

~yang ni saya tambah sendirikk~

Menasihati hanyalah bertujuan,
tanda kasih kita kepada orang yang kita nasihatkan
tanda prihatin kita pada orang yg kita sayang
dan lambang cinta luhur sesama insan..

Hablun minallah,hablun minannas..!

Wednesday, March 02, 2011

Sayu Sekeping Hati...

Sedih,

Tak mampu untuk saya menatap lebih lama wajah sayu anak kecil itu.

Awalnya saya hanya memandang dan membuat konklusi sendiri bahawa dia demam atau sakit perut.

Hati kecil saya mula mendesak untuk mengetahui lebih mendalam kenapa wajah anak ini begitu pucat,tidak bermaya dan seakan menggeletar.

Bila didesak dan ditanya kenapa dan mengapa...

Akhirnya dia menjawab dengan nada yang penuh meruntun hati.

"Saya Lapar..."

Subhanallah,hati insan mana yang tidak tersentak tatkala mendengar jawapan dari anak kecil ini.Saya benar-benar tidak mampu menahan sebak didada,ada getar saat berbicara.Cepat2 saya seka air mata dari terus mengalir.

Saya memandang dari hati nurani seorang kakak pada adiknya,tidak dapat saya bayangkan perkara ni terjadi pada adik2 saya.Syukur Tuhan,Kau kurniakan kami seorang abah yang bertanggungjawab dan penyayang.

Berbalik kpd cerita tadi,

"Betul ke awak lapar,tak makan lagi hari ni??"

"Ya,saya lapar"~dalam esak tangis anak ini menjawab.

Lihatlah semua,saat kita begitu enak menikmati hidangan yang lazat2 ada insan lain yang kebuluran mahu mendapatkan sesuap nasi.

Ada ketikanya kita begitu bermewah-mewahan dengan western food dan segala macam makanan yang pelik2,tapi tanpa kita sedar rupanya ada insan yang begitu rindu mahu menjamah nasi berlaukkan ayam.

Tatkala kita seronok dihantar kesekolah , ada insan lain yang terpaksa memilih antara makan atau pelajaran.Lantas makanan yang harus dipilih demi kesinambungan hidup.

Waktu kita bahagia dan gembira dengan peluk cium dan kasih mak abah, ada insan lain yang cukup menderita dan sangat mendamba kasihnya ayahbonda.

Ohh Tuhan,sehingga ke saat ini saya belum mampu menahan tangis,saya mahu kongsikan cerita ni dengan adik-adik saya.Saya mahu mereka lebih bersyukur dan mahu mereka tahu ada insan yang lebih menderita agar mereka tahu menilai dan menghargai apa sahaja kenikmatan yang abah berikan untuk kami sekeluarga.


Memandang dari sudut punca dan faktor perkara ini berlaku,saya tidaklah menyalahkan 100% kepada institusi perkahwinan itu sendiri.Sekali-kali saya tidak mahu membina watak antagonis dalam diri saya kerana saya tahu bahawa perceraian itu halal dalam islam cuma kurang digalakkan sahaja.

Namun,inilah kesan dan inilah natijah yang akan berlaku ya tuan-tuan dan puan-puan.Setelah berantakannya sesebuah institusi kekeluargaan,maka anaklah yang menjadi mangsa.

Kasih sayang dipinggirkan,makan pakai diabaikan dan meruntun hibalah anak kecil ini meratap nasib diri.

Saya hanya bersuara sebagai seorang yang memperolehi ilmu melalui pembacaan dan ceramah2 motivasi kerana saya meminati bidang ini.Saya berkata-kata kerana saya seorang individu yang sangat bimbang akan kepincangan dan keruntuhan yang berlaku. Saya menangis kerana hati wanita saya begitu lemah dan tidak mampu menahan sedih tatkala menerima perkhabaran tentang ini.

Layakkah saya berbicara tentang ini???

InsyaAllah dengan sedikit ilmu yang ada saya mahu sangat berkongsi tapi bukan menasihati nanti ada yang menganggap saya begitu skeptikal pada alam rumahtangga.

Para ibu bapa,cubalah baiki hubungan.Tunjukkanlah contoh yang terbaik untuk tatapan anak-anak.Pilih jalan yang paling baik demi anak-anak.DEMI ANAK-ANAK...Sebaiknya elakkan perpisahan,jiwa anak-anak menjadi kacau,memberontak dan bercelaru saat ayahbonda memilih perpisahan sebagai jalan terakhir.

Memang mereka tidak menzahirkan dengan mulut,tapi mereka menunjukkan melalui perbuatan.Tatap wajah mereka,renung dengan mata hati..."Inikah Pengakhiran sebuah cinta,Ohhh anak..."



~ Pengalaman Penulis berhadapan dengan seorang murid didalam kelas pagi tadi.Cukup meruntun hati...~