Makna kasih dan cinta dalam Islam sungguh besar pengertiannya. Sebab itu, dalam konteks cinta dan kasih sayang kepada Allah S.W.T, adalah termasuk dalam perkara yang disebut sebagai "halawatul Iman" (kemanisan Iman) atau ni'mat yang sebenar. Dengan ertikata lain, keimanan yang hakiki akan tercapai apabila kita dapat meletakkan setinggi-tinggi kasih dan sayang kita kepada Allah S.W.T dan Rasul-Nya.
Begitu juga dalam konteks menghormati ibubapa.Islam mengajar kita supaya "birrul waalidain" atau berbuat baik kepada kedua ibubapa. Maksud berbuat baik itu bukan sahaja mencakupi perkara-perkara atau perbuatan-perbuatan yang baik sahaja, bahkan disudut hati nurani kita mestilah tersimpan rasa amat kasih dan sayang kepada kedua ibubapa. Sebab itulah al-Quran menjelaskan kepada kita bahawa bukti dan kasih sayang kepada kedua ibubapa itu diterjemahkan kepada "walaa takullahuma uffin" atau jangan kita berkata 'uh' kepada keduanya.
Ucapan sebeginipun dianggap sebagai suatu perkara yang amat dibenci oleh al-Quran. Kerana melalui perkataan itu akan melahirkan bibit-bibit kebencian dan seterusnya melunturkan rasa kasih sayang terhadap kedua ibubapa.
Dalam hubungan kenegaraan, persoalan kasih dan cinta ini ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w sebagai "hubbul watan minal iman" atau cinta dan kasih kepada negara itu adalah sebahagian daripada tuntutan iman. Semangat cintakan negara ini adalah antara agenda yang diperjuangkan oleh baginda Rasulullah s.a.w dan para sahabat selain persoalan iman dan akidah. Perkara utama yang diperjuangkan oleh Rasulullah s.a.w ialah mempertahankan kedaulatan negara. Iaitu meletakkan dalam diri bahawa kasih sayang dan sumpah setia harus ditumpahkan kepada negara itu sendiri.
No comments:
Post a Comment